Saturday, May 28, 2011

Tragedi City Plaza

Entah macam mana, hari ini, sedang aku melepak-lepak tiba-tiba sahaja aku teringat kisah lampau tragedi di City Plaza Alor Setar.

Sesiapa yang belajar komsas Bahasa Melayu tingkatan 4 pasti ingat sebuah cerpen bertajuk "Cerita Bayan yang Tidak Mendengar Kata Ibunya".

14 tahun yang lalu City Point merupakan shopping complex yang paling besar di daerah Kota Setar. Kira-kira pertengahan tahun 1997 baru keseluruhan shopping complex baru iaitu City Plaza siap. Bangunan kompleks baru bercantum dengan City Point.



Sebelum kesuluruhan kompleks baru City Plaza siap, terdapat beberapa sisi kedai bercantuman dengan City Point telah dibuka. Boleh dikatakan di setiap tingkat City Point terdapat laluan yang bersambungan dengan kompleks baru namun belum dibuka sepenuhnya awal tahun. Cuma beberapa kedai sisi di laluan ini yang dibuka dan yang menjadi tumpuan kami kanak-kanak dan budak sekolah waktu itu ialah sebuah kedai komik.

Kedai komik ini lebih diibaratkan seperti sebuah perpustakaan mini namun segala jenis komik wujud di situ. Ini merupakan suatu fenomena baru pada zaman tersebut. Bayangkan seorang kanak-kanak macam aku tak perlu bazirkan RM 3.50 untuk sebuah komik. Apa yang aku perlu buat ialah bayar deposit RM 3.50, ambil sebuah komik baru dan baca sampai habis. Kemudian pulangkan dan dapat baki RM 3.00. Selebihnya aku boleh gunakan 50 sen itu untuk baca komik lain dalam baki masa sejam yang diperuntukkan.

Paling menarik, setiap kali mak aku hantar aku dan adik beradik lain ke perpustakaan awam, aku akan lari naik ke bangunan City Plaza untuk membaca komik. Maaflah aku mak, bukan aku tak nak baca buku kat perpustakaan awam tu tapi semua buku bahagian kanak-kanak tu aku dah habis baca. Pernah satu minggu setiap hari Cikgu Hasnah bawa aku dan geng-geng kuiz Sains ke perpustakaan dan kami dah khatam semua buku dan ensaiklopedia yang ada dibahagian "SAINS".

Satu hari, mak dan kakak hendak mencari kain baju raya di Nagoya Tekstil City Point. Nagoya kalau tak silap masa tu terletak di tingakt 2. Mungkin masih ada lagi hari ini. Tak perasan pula aku wujud atau tidak masa kali terakhir aku ke Alor Setar tahun lepas sewaktu majlis pertunangan aku.

Dalam kekalutan dan kemeriahan wanita pelbagai peringkat umur memilih kain-kain di premis Nagoya, hati jantan aku memberontak kebosanan. Dengan alasan ke tandas, aku menyusup keluar untuk lari pergi ke kedai komik baru yang sangat fenomena ketika itu. Langkah aku deras meninggalkan premis kain penuh kebosanan menuju eskalator dan aku sempat dengar mak teriak dari jauh.

"Jangan melilau. Balik mai sini terus"

Aku pekakkan telinga. Aku tau paling lama pun mau sejam paling kurang baru mereka habis bershopping. Kelihatan waktu itu ramai sungguh orang di eskalator dan rata-ratanya kanak-kanak sebaya aku dan remaja sekolah menengah. Semuanya menuju ke tingkat paling atas.

Tingkat paling atas adalah syurga remaja. Ada "arcade" dan kedai buku Popular yang menjadi port untuk baca buku cerita dan majalah secara percuma. Budak-budak sekolah yang nerd juga boleh membaca buku-buku rujukan secara percuma dan gadis-gadis genit suka shopping pen kaler-kaler untuk buat isi buku autograf kawan-kawan.


**********************Bersambung********************************

2 comments:

ihsan_huhu said...

sambung2

Abner said...
This comment has been removed by a blog administrator.