Kerana percayakan Sitilah, hari ini aku masih boleh berdiri, tersenyum dan bangkit dari kejatuhan lalu.
Kalau boleh kembali ke masa lalu, cuma seorang sahaja yang aku percaya iaitu Siti. Aku tak akan percayakan orang lain. Malah kasih sayang aku semua akan aku curahkan kepada Siti. Tak ada yang kedua dan tak ada yang lain.
Namun semua manusia buat silap. Kesilapan lalu yang ntah tak tahu sudahkah tertebus. Harap Siti dapat maafkan aku.
By the way, siapakah Siti?
Siti Sophia bt Othman ialah emak yang telah melahirkan aku kira-kira 25 tahun 5 bulan yang lalu.
Masa aku kecil aku sangat comel dan mak aku tak sampai hati nak jentik aku pun. Tambahan pula aku bayi yang baik dan tak banyak meragam. " Easy baby" kata mak. Semua orang pun nak dukung. Semua yang dukung pun tak nak lepas.
Tapi sebaik-baik aku boleh mula berjalan, aku tak berjalan macam orang lain tapi aku panjat meja, kerusi, dan grill pintu sampai mak aku terjerit-jerit histeria .
"Ha.. panjat lagi.. panjat lagi tinggi tak payah turun-turun dah!" Reverse psikologi mak memang berkesan. Dan ini aku dapat lihat sendiri keberkesanannya terhadap adik-adik bila aku dah besar.
Bila masuk umur sekolah rendah aku sangat nakal. Hanger dan tali pinggang memang menjadi makanan harian aku. Kadang-kadang bila balik lambat main petang-petang mak akan capai-capai apa sahaja yang ada, batang kayu atau batang fibre optic yang abah bawa pulang dari pejabat Telekom digunakan untuk melibas betis dan keting aku.
" Dah nak magrib baru balik! Ayam itik burung pun semua tau balik..."
Terlampau banyak insiden sampai aku tak boleh ingat semuanya.
Pernah sekali mak tibai aku separuh mati sebab aku pergi main kat "geluboq". Masa tu dalam darjah 5 waktu tu kami sekeluarga pergi bercuti untuk menyaksikan LIMA langkawi 95. Pantai Delima Beach Resort waktu tu dipenuhi paya-paya berselut. Sampai sahaja disana aku terus terpa ke pantai dan teruja melihat ikan-ikan belacak.
Kerana terlampau excited aku kejar semua nya sampai ke laut dan masa tu lah baru aku faham konsep pasir jerlus. "geluboq" di pantai cenang itulah telah hampir memakan dan menyedut aku. Sampai ke pinggang aku disedut tapi sebab sebelah kaki je yang disedut aku dapat keluar dan ada kayu panjang yang sangkut dekat kaki sebelah lagi. Aku berusaha merangkak keluar dan mengengsot ke pantai lantas berlari balik ke chalet dan mak dah menanti aku.
"Pi Mana? Awat berselut habih satu badan?" keras suara mak bertanya.
Tak sempat aku jawab habis badan aku diluti-luti. Ada dua tiga batang pokok hiasan di depan chalet habis mak cabut dan disebatnya aku sampai hancur batang-batang pokok sebesar penyapu itu. Tak cukup dengan itu di pukul-pukul aku dengan tangan, ditampar-tampar nya semua muka kepala badan belakang aku seperti orang dirasuk hantu. Mak tak hirau orang sekeliling, pelancong-pelancong jiran bilik kami. Akhir sekali dia bertempik kuat " Bukak semua pi mandi!"
Aku ingat lagi aku mandi telanjang bulat, dalam shower dengan tangisan teresak-esak. Apalah salah aku. Sebagai seorang kanak-kanak yang ingin tahu, aku cuma nak tangkap ikan belacak tu. Sebab sebelum-sebelum ni aku tak pernah tangkap ikan yang boleh melompat-lompat dan hidup tanpa air. Aku nak bawak balik bilik dan tunjuk dekat mak, abah dan adik-adik apa yang aku jumpa. Pasti mereka seronok tengok ikan belacak yang aku tangkap melompat kesana kemari. Tapi tak sangka habuan lain yang menanti aku. Emak yang dirasuk dan dikerjakan aku separuh mati.
Bila dah besar baru aku paham. Mak sebenarnya sayang aku melebihi segala-galanya. Mungkin betul kata kakak aku sebelum ni. Sebelum ni aku ingat dia hanya cemburu tak bertempat.
"Kau anak mak yang mak paling sayang"
Setiap hari Mak menangis masa aku sakit. Setiap hari mak tak boleh tidur dan sampaikan satu hari mak tanpa fikir panjang telah beli tiket untuk datang ke New Zealand. Masa tu minggu pertama raya.
Aku ingat lagi, 6 syawal untuk Aidilfitri 2008. Housemate aku telefon mak bagitau yang keadaan aku dah agak kritikal dan diorang tak boleh handle. Masa tu mak tengah busy nak siapkan majlis perkahwinan Yah, kakak sulung aku. Boleh dikatakan semuanya dihandle seorang diri, sebab kakak aku sangat busy dengan housemanship di PPUM.
Hari-hari mak di Dunedin berendam air mata. Aku pun tak pasti kenapa tapi mungkin sebab terlalu sedih. Mungkin anak lelaki yang dibesarkan dari kecil tanpa disangka menjadi tak tentu arah tak kuat menghadapi dugaan hidup dan akhirnya sakit jiwa lantas segala yang ada dalam hidup musnah sekelip mata. Sakit, sehat semua Allah yang bagi. Sama macam MDD, macam orang patah tangan. Pain killer sahaja tak cukup untuk sembuhkan sakit patah tangan tapi tangan juga perlu disimen.
Satu tamparan hebat buat emak apabila pihak Universiti menyuruh emak membawa aku pulang terus dan memperjudikan masa depan aku. Mungkin itu satu pilihan terbaik jika aku di tahun 1 atau tahun 2. Tapi masa itu aku dah hujung tahun 4 dan siki lagi nak masuk tahun 5. Mak meyakinkan pihak University yang dia mahu cuba sedaya upaya tolong aku teruskan dan habiskan sisa tahun 4 yang tinggal kurang 6 minggu. Prof yang kami jumpa cuma mengangguk perlahan tapi jelas diwajahnya yang dia langsung tak yakin. "this is based on our experience with previous students but you may try" kata dia.
Setiap pagi mak hantar aku pergi hospital pagi-pagi sejuk-sejuk, datang pada waktu lunch bawa makanan atau bawa aku pergi makan, hantar aku balik semula ke hospital dan kemudian datang balik di waktu petang ambil aku.
Satu pagi aku pengsan masa ward round. Masa tu aku tak ingat apa-apa aku cuma sesak nafas dan tiba-tiba blackout. Nurse dan doktor ramai-ramai angkat aku bawa aku ke salah satu bilik yang ada katil kosong dan kemudian monitor aku. Aku sedar-sedar mak dah ada di sebelah aku dengan wajah penuh kerisauan. Makcik yang anak dia dialysis di sebelah katil bagitahu mak masa aku tak sedar tadi yang " he was green and looked really sick when they brought him here" . Mana mungkin mak tak risau.
Setiap hari-hari mendatang dipenuhi kasih sayang emak, yang bukan untuk aku seorang tetapi kawan-kawan serumah turut merasainya. Hari-hari kami makan lauk sedap-sedap. Pagi ada breakfast yang koman-koman pun mee goreng, kemudian ada minum pagi kopi dengan cucur, makan tengahari, minum petang, dinner dan supper. Semua kawan-kawan serumah pun dah rasa mak macam mak sendiri. Yang homesick hilang homesick, yang stress dengan exam dapat fokus dengan lebih tenang. Kedatangan mak juga membawa semacam rahmat dan hikmah yang merapatkan lagi hubungan kami menjadi lebih akrab. Melebihi adik beradik walaupun tidak ada hubungan darah.
Antara symptoms MDD sendiri ialah insomnia. Setiap malam mak akan halang aku ambil ubat penenang yang doktor bagi untuk aku senang tidur.
"Tak payah makan... Mak tak nak kamu kena side effect dia... Meh Mak peluk"
Setiap hari insomnia aku diubati oleh pelukan emak. Setiap hari jugalah drowsiness aku diubati oleh kopi mak. Mak berusaha memujuk aku dan memberi galakan untuk aku kembali lancar untuk aktiviti seharian seperti bangun dari katil, mandi dan pakai baju. Tanpa galakan dan kesabaran mak aktiviti semudah itu memakan masa tidak kurang 2 jam. Dorongan emak berjaya mengatasi Psychomotor retardation yang aku alami. Ramai lecturer tidak percaya yang aku mampu pergi ke kelas dan menjalani rutin macam biasa. Memang bagi seorang yang menghidapi Major Depressive Disorder ianya sesuatu yang mustahil. Tapi tidak mustahil dengan adanya ibu disisi yang tidak putus-putus menyokong dan mencurahkan kasih sayang tak berbelah bagi. Mungkin tanpa mak aku sudah masuk wad gila agaknya.
Kepulangan Mak ke Malaysia selepas genap sebulan di Dunedin meninggalkan aku seorang diri. Emak titipkan Imran untuk menengok-nengokkan aku. Aku terpaksa menunggu di Dunedin kerana pihak Universiti masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan tahun 4 aku yang banyak polos disebabkan sakit. Akhirnya setelah menunggu hampir sebulan, aku dipanggil berjumpa dengan dekan dan beberapa orang Professor. Berita yang dikhabarkan Universiti memberi satu lagi tamparan buat emak dan aku. Universiti mencadangkan aku bercuti selama setahun hingga dua tahun dan tidak mungkin dapat membuat remedial class semasa cuti summer kerana keadaan kesihatan mental aku.
Aku pulang cuti summer agak lewat kerana menantikan hasil keputusan mesyuarat Board of Examiners. Kepulangan aku ke Malaysia pada tahun itu membawa kepada titik perubahan paling besar dalam hidup aku.
Ubat baru yang diberi kepada aku oleh Psychiatrist di Emergency Psychiatric Service pada Oktober sebelum kedatangan emak ke Dunedin mula memberikan kesan sampingan yang sangat ketara. Antara kesan awal yang aku alami ialah 'tremor' dimana tangan aku bergetar-getar seperti seorang pakcik yang ada Parkinson's Disease. Aku tidak dapat membantu adik-adik menyiapkan door gift kenduri kahwin kakak aku disebabkan tangan aku yang asyik bergetar. Habis bersepah manik-manik dan hiasan kotak door gift setiap kali aku cuba melekatkan pada penutup kotak. Gula, milo dan kopi juga bersepah-sepah tumpah setiap kali aku cuba membuat milo atau kopi.
Kesan sampingan yang banyak merubah hidup aku ialah Myalgia. Myalgia dalam bahasa mudah ialah sakit otot. Terdapat banayk faktor yang menjurus kepada sakit otot tapi dalam kes aku ianya disebabkan oleh antidepressant yang aku ambil. Sakit otot aku boleh datang tiba-tiba tak kira semasa tidur, menonton television atau memandu. Paling teruk terjadi ialah waktu memandu dan kaki akan sakit secara tiba dan aku terpaksa berhenti dan kemudian menunggu lama sejam lebih sehingga kaki agak kurang sakit dan terus pulang ke rumah.
Aku juga menjadi agressive. Kadang-kadang dengan sebab yang kecil aku boleh jadi macam gajah naik minyak. Beberapa kali aku pernah mengamuk atas perkara kecil yang bersangkut paut dengan hal-hal yang menyakitkan kepala aku. Tenaga yang datang pula memang cukup kuat untuk mengemekkan almari besi atau mematahkan kerusi.
Setiap kali aku mengamuk mak akan lari mendapatkan aku dan memeluk aku erat sambil mengusap-usap kepala.
"sabar.. semua sakit Allah yang bagi, Dahlah..jangan ikut sangat yang dalam kepala itu ....kamu sayang mak kan.."
Aku cuma diam. Berhenti mengamuk. Kemudian mak bawak aku ke bilik air, basuhkan muka aku dan mak mula menitiskan air mata.
*********************************************************
Hujung tahun 2009, aku berjaya menamatkan tahun 4 yang diulang dengan susah payah sekali. Banyak jerih perih yang tak muat untuk aku ceritakan disini. Symptoms MDD juga semakin berkurangan. Mak bernazar membuat kenduri selepas aku berhenti makan ubat yang hampir 2 tahun hidup aku bergantung padanya.
Aku betul-betul berhenti makan ubat semasa bersama-sama Mak mengerjakan Umrah. Masa itu setiap kali berhadapan kaabah di Masjidil Haram aku tidak minta banyak. Aku cuma minta Allah sembuhkan penyakit aku agar mak tak sedih dan tak menangis lagi. Mak juga bangun awal setiap pagi untuk bersolat hajat di Hijr Ismail dan berpaut pada pintu Kaabah untuk mendoakan aku di Multazam. Setiap hari setiap kali selesai mengerjakan Sai'e mak akan memandikan aku di telaga zam-zam tanpa segan silu diperhatikan oleh jemaah-jemaah yang lain yang memandang dengan pelik. Mak menjirus kepala aku beberapa kali sambil mengusap-usap kepala aku dan berdoa bersaksikan kaabah supaya Allah kembalikan sihatku dan pulihkan semula sel-sel otak ( frontal lobe) aku yang dah lama kecut. Setiap jirusan mak cukup mendamaikan dan memberikan semacam ketenangan yang sangat meringankan kepala aku. Mungkin aku dapat rasakan kasih sayang dan harapan Mak yang ikhlas turut sama-sama mengalir meresap ke semua saraf dan sendi aku.
Dan hari ini, aku nak beritahu sekali lagi yang aku bersukan bukan sekadar untuk berpeluh. Aku bersukan kerana aku ingin kembali sihat dan kembali ke zaman di mana Mak sentiasa bangga dengan aku, tidak risau. Malah jika emak menangis sekalipun air mata yang mengalir ialah air mata kegembiraan seorang ibu, kerana aku yakin dan percaya kepada kasih sayang emak. Sampai mati pun tak mungkin dapat aku balas walaupun nyawa aku menjadi galang ganti. Sebab aku tahu kasih emak yang tersirat sangat banyak melampaui apa yang aku dapat lihat dan rasa, malah setiap hari adalah hari Ibu untuk aku.
3 comments:
pergh. anak makcik masih lagi jiwang seperti dahulu.
nnt ade mase aku dtg peluk ko k
haha.. aritu xdpt peluk puas2 sbb segan dgn nisam dan bininya.
aku tgk kau semakin messi skrg...dah xpuyol dah.. perhhh
gahaha. semakin messi? aku pon xpaham isi tersirat ko nih
Post a Comment